pepatah pujangga

Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya..

Yusuf al-Qardawi

Wednesday, November 3, 2010

Teladan dan Memelihara Bahagia part 10



Sebuah sejarah Islam yang cukup bernilai harganya dan mempunyai nilai moral yang tinggi.Pengorbanan nabi Ismail yang cukup terkenal dengan kisah penyembelihan agung. Pada Hari Raya Aidiladha, peristiwa ini pasti meresap kembali dalam ingatan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bagi umat Islam yang berkemampuan mereka akan menyembelih haiwan ternakan sebagai korban bersempena dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail.

Peristiwa penyembelihan ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anaknya.

Nabi Ibrahim sungguh sedih dan terkejut. Sebelum ini pun Allah telah mengujinya dengan berbagai-bagai ujian dan cabaran. Ujian pertama yang diterimanya adalah setelah berkahwin dengan Sarah. Isterinya itu didapati tidak dapat melahirkan anak sedangkan usia Nabi Ibrahim pada waktu itu telah lanjut.

Kemudian baginda berkahwin dengan Hajar dan mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail. Baginda sungguh gembira dan amat menyayangi anaknya itu. Tiba-tiba ujian kedua menimpanya. Allah menurunkan wahyu supaya baginda meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya di satu kawasan ketika itu Ismail masih kecil.

Akhir sekali dugaan yang paling mencabar diterimanya dalam mimpi baginda. Allah memerintahkan baginda supaya menyembelih Ismail. Pada masa itu Ismail telah remaja. Nabi Ibrahim berasa sedih kerana itulah satu-satunya anak yang dimilikinya bersama Hajar.

Nabi Ibrahim juga telah tua ketika menerima wahyu tersebut. Namun, baginda tetap taat kepada perintah Allah. Lalu baginda bertemu dengan Ismail.

"Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi seolah-olah aku menyembelihmu. Apakah pendapatmu tentang perkara ini?," tanya Nabi Ibrahim.

Sebagaimana yang diterjemahkan di dalam al-Quran, Ismail pun menjawab, "Wahai bapaku, kamu laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar".

Nabi Ibrahim sungguh terharu mendengar kata-kata anaknya itu. Baginda tahu anaknya seorang yang tabah dan taat kepada Allah. Kemudian, baginda bersiap sedia menyembelih Ismail.

Sebelum disembelih, Ismail berpesan kepada bapanya: "Wahai ayahku, ikatlah badanku dengan kuat agar aku tidak meronta-ronta. Kemudian tanggalkanlah pakaianku agar tidak terkena darahku. Aku tidak mahu ibu bersedih apabila melihat pakaianku nanti. Tajamkanlah pisaumu dan percepatkanlah penyembelihanku agar dapat meringankan kesakitanku. Kemudian sampaikanlah salamku kepada ibu dan berikannya pakaianku sebagai tanda kenang-kenangan."

Nabi Ibrahim terus memeluk dan mencium anaknya.

"Aku sungguh bahagia mempunyai anak sepertimu yang taat kepada perintah Allah, berbakti kepada orang Allah, berbakti kepada orang tua dan ikhlas hatinya," kata Nabi Ibrahim dalam nada sedih.

Selepas itu, Nabi Ibrahim pun menjalankan perintah tersebut. Baginda melakukannya seperti yang diminta oleh Ismail, tetapi pisau yang digerakkan di leher Ismail tidak berfungsi dan menjadi tumpul. Beberapa kali dicubanya tetapi gagal. Nabi Ibrahim berasa hairan lalu berdoa kepada Allah dan Allah terus berseru kepadanya:

"Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah melaksanakan mimpimu itu, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan."


Nabi Ibrahim amat bersyukur kerana Ismail telah terselamat daripada disembelih. Tempat Ismail telah diganti dengan seekor kibas.Firman Allah S.W.T , surah As shaaffaat : 99 -108

Dan Ibrahim berkata:”Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Tuhanku, anugrahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ). Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian

[Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd]


zamlubawi : mari menghayati erti sebuah pengorbanan !!

No comments:

Bahagiaku Bahagiamu Jua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...