Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak  mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang  kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini  dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara  ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar.  Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu  orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” 
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program  yang paling senior. Telah  berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali  terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan  bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan  diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan  marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa  tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah  dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji? 
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual  santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak”  agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?” 
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula  menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya  berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan  sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil  tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila  bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi. 
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak  yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi,  “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka,  mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak  saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak  adalah harta kita yang paling berharga!” 
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan  kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya  perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang  lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam  organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” 
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan  perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran  kita. Tetapi yakinlah what  you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama  manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu  pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?” 
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi  tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga.  Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan  dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah  kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa  yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa  itu dipanggil golden rule!” 
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan  pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan  familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita  sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh  sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi  isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia  terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan  untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
Saya berhenti  seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu  mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan  begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan.  Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba  kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat  untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan  kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?” 
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik  encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan  memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah  sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati  pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri  kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah  menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita  untuk membalas kebaikan kita tadi.” 
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu  jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi  kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D  atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam  kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita  dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta  diiyakan. 
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih,  siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya  kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang  melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun  semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan  dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal.  Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas  keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” 
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan  kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang  taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera.  Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji  dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak  dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib  kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik  pangkat!” 
Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat  melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan  bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat.  Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata  tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan  sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan,  kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan  dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan  isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. 
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki  masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah  dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha  Melihat. Bekerja itu satu ibadah. Insya-Allah, satu hari nanti manusia  juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain.  Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?” 
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia  atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima  kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak  pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang  pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang  bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. 
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata  kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih  kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus  memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana  tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…” 
zamlubawi : memberi itu abadi tetapi ramai masyarakat sekarang mudah mengata dari mudah menghulurkan bantuan..=)

No comments:
Post a Comment